Wednesday, April 08, 2009

Adat dan Khurafat


Analogi kedatangan Islam ke alam Melayu Nusantara dipenuhi dengan pelbagai pandangan dalam catatan sejarah peradaban dunia. Wujud pelbagai teori yang menyatakan bahawa Islam telah bertapak kukuh semenjak lebih 200 tahun yang lalu di Tanah Melayu. Ia terjadi samada melalui hubungan perdagangan melalui negara China ataupun kehadiran pedagang asing yang berdakwah daripada Yaman, Parsi atau India. Setelah itu, dimensi baru yang disadur oleh Islam telah mengubah dunia Melayu daripada penganut amalan karut kepada jati diri Muslim yang bertamadun.

Merujuk kepada sejarah peradaban dunia sebelum kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu, anutan masyarakat Melayu pada ketika itu boleh kita bahagikan kepada tiga kumpulan agama yang terbesar iaitu:-

1 . Agama Buddha (memuja dewa)
2 . Agama Hindu (memuja dewi)
3 . Kaum orang asli (kepercayaan Animisme)


Agama Budha dan Hindu merupakan dua agama yang muncul daripada teras yang sama iaitu kepercayaan kepada pemujaan dewa dan dewi. Manakala, masyarakat kaum orang Asli pula sangat kuat berpegang dengan kepercayaan roh dan pemujaan jin. Percantuman ketiga-tiga golongan di atas sama ada melalui perkahwinan atau seumpamanya telah menghasilkan suatu pencampuran budaya dan adat resam dalam istiadat kebudayaan bangsa Melayu.

Berdasarkan variasi budaya luar yang telah timbul tadi, maka wujudlah pelbagai kelompok dalam masyarakat yang mempunyai fahaman dan amalan berlainan. Tuntasnya, dari situ lahirlah amalan-amalan yang dipanggil amalan ‘kebatinan’ atau ‘ilmu hakikat’ (ilmu isi) yang dipengaruhi hasil dari pencampuran elemen-elemen luar tadi.

Kedatangan syariat Islam ke Tanah Melayu telah berjaya menghakis sedikit demi sedikit kepercayaan karut dalam amalan masyarakat Melayu. Tetapi, hingga ke hari ini masih wujud juga sekelumit amalan di dalam masyarakat Melayu yang masih tidak sedar bahawa sebahagian perkara yang mereka amalkan itu telah bercanggah dengan syariatNya.


Sehingga kini, amalan tersebut masih lagi hidup subur walaupun ada pihak yang telah mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat. Malah, golongan ini masih enggan meninggalkan kepercayaan yang diamalkan dan beranggapan bahawa adat-adat yang bercanggah tersebut sebenarnya seolah-olah sebahagian daripada ajaran Islam.

Jika kita soroti makna adat, ia boleh didefinisikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak turun-temurun di dalam sesebuah pola masyarakat. Ia merupakan hukum atau peraturan yang mesti dipatuhi. Pengamalan dan pegangan adat di alam masyarakat Melayu pada zaman dahulu amat tegar sehingga sangat sinonim dengan pepatah ‘biar mati anak, jangan mati adat’.

Ia jelas menunjukkan peri pentingnya adat dalam masyarakat nusantara terutamanya bangsa Melayu. Persoalannya, golongan manakah yang mewujud dan memperkenalkan adat istiadat ini dan sejak bilakah ia telah bertapak dalam masyarakat Melayu? Persoalan yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu kini masih bertepatan dengan hukum agama (Islam) atau bertentangan sama sekali dengan hukum syara’ (khurafat)?


bersambung.............

0 Comments:

Post a Comment

<< Home