Puasa Enam di bulan Syawal
Puasa enam ibarat kerja lebih masa
PADA Syawal ini, Allah melebarkan lagi keupayaan berpuasa ke atas orang
Islam dengan puasa sunat enam. Ia boleh dilakukan pada mana-mana hari pada
Syawal sama ada secara berterusan atau berselang seli. Namun, afdalnya ialah
pada hari raya kedua dan dilakukan secara berterusan.
Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadis daripada Abu Ayub
al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang sesiapa berpuasa Ramadan
kemudian ia mengiringinya dengan puasa enam hari Syawal, adalah puasanya itu
seperti puasa sepanjang masa." (Riwayat Muslim).
Hadis itu menjelaskan sekiranya kita berpuasa pada Ramadan dan diikuti dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa (setahun). Oleh itu, kita perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan untuk menampal mana-mana amalan yang berkurangan dalam amalan fardu. Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadan berkurangan, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan itu. Khususnya kepada kaum wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, maka puasa enam memberi peluang baik untuk mereka
menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat.
Ia juga dapat mengelakkan budaya sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadan hampir menjelang, terutama pada Syaaban tahun depan. Apakah kita pasti akan
bertemu dengan Syaaban? Justeru, elok kita menyegerakan qada puasa dengan
melakukannya pada bulan Syawal yang dijanjikan limpahan ganjaran oleh Allah
SWT. Kita tidak mengetahui bila maut menjemput.
Perbuatan melambatkan qada puasa wajib menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajipan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita fikirkan.
Justeru, marilah kita berlumba-lumba mengerjakan ibadat puasa sunat enam
pada Syawal kerana besar rahmat dan pahala yang Allah limpahkan kepada kita
seandainya dapat melakukan ibadat ini.
Secara bandingan, jika kita mampu bekerja lebih masa demi wang, apakah kita
tidak mahu melakukan lebih masa dalam ibadat demi mendapat ganjaran pahala
berlipat ganda.
Ganjaran orang yang melakukan ibadat puasa enam Syawal dapat menambahkan
pahala dan menjamin kita masuk ke syurga. Memang tidak dinafikan manusia
cenderung melakukan kerja apabila ada ganjaran tetapi sebenarnya dengan
melakukan ibadat kepada Allah, rahmat dan rezeki akan datang dalam bentuk
yang tidak disangka-sangka sama cepat atau lambat atau daripada sumber
tertentu. Itu tanda kebesaran Allah.
Ibadat ini perlu direbut kerana ia menguji sejauh mana kita beriman dan beramal dengan-Nya. Marilah melakukannya sempena kedatangan Syawal. Mudah-mudahan, kita dapat
meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan menampal kekurangan ibadat yang selama ini dilakukan ketika hayat. Sebagai orang beriman, kita perlu berjanji tidak akan melepaskan peluang ini tidak kira sesibuk mana sekalipun. Janganlah leka mengejar kemewahan dan kesenangan kerana kehidupan dunia sementara, manakala kehidupan akhirat kekal buat selama-lamanya.
Ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam Surah al-An'am ayat 32
bermaksud: "Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain daripada permainan dan
senda gurau. Dan sesungguhnya Akhirat itu lebih baik bagi orang bertakwa.
Adakah kamu tidak memahami"
0 Comments:
Post a Comment
<< Home