Tuesday, May 30, 2006

ALLAH S.W.T berfirman di dalam Surah Al-Hasyr ayat ke 18 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH dengan mengerjakan suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA, dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan iaitu dari amal-amalnya untuk hari esok iaitu Hari Akhirat. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan."

Orang mukmin adalah orang yang takut kepada ALLAH dengan seluruh anggota badannya. Sebagaimana Abul Laits telah berkata :
"Tanda-tanda takut kepada ALLAH itu kelihatan di dalam tujuh perkara."

Pertama, pada lisan. Menghindarkan diri daripada berdusta,mengumpat,menyebar fitnah, berbual kosong, dan banyak cakap. Malah hendaklah menyibukkan diri dengan berzikir, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmu.

Kedua, pada hati. Membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap saudara sesama muslim. Hasad dengki merupakan penyakit hati yang amat merbahaya. Tidak ada ubat bagi penyakit hati selain daripada ilmu dan amal.

Ketiga, pada pandangan. Tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian atau hal-hal lain yang diharamkan. Malah tidak terpikat kepada dunia. Tetapi memandangnya dengan mengambil ikhtibar. Sabda Rasulullah S.A.W : "Barangsiapa memenuhi matanya daripada perkara yang haram, maka ALLAH akan memenuhinya daripada api, pada hari Kiamat."

Keempat, pada perut. Tidak diisi dengan makanan dan minuman yang haram.Sabda Rasulullah S.A.W : "Manakala sesuap daripada barang haram masuk dalam perut seseorang, maka seluruh malaikat di langit dan di bumi melaknatinya selama sesuai atau seteguk barang itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di Neraka."

Kelima, pada kedua tangan. Tidak digunakan untuk mengerjakan perkara-perkara yang haram. Tetapi hanya digunakan untuk berbuat taat kepada ALLAH S.W.T.

Keenam, pada kedua kaki. Tidak digunakan untuk menuju ke tempat maksiat. Tetapi digunakannya untuk melangkah membuat taat, mencari keredhaan, serta bercampur gaul dengan para ulama' dan orang-orang soleh.

Ketujuh, terlihat pada ketaatan. Menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan ALLAH. Takut daripada perasaan riak dan munafik.

Barangsiapa melakukan tujuh perkara seperti di atas, maka dia termasuk di dalam kategori orang-orang yang dikatakan ALLAH di dalam Surah Al Hijr ayat 45 yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga dengan mata air-mata air terpancar padanya."

Maka dengan itu hendaklah kita tidak berputus asa di dalam mengharapkan rahmat ALLAH S.W.T di dalam mengerjakan ibadat.- Jadikan Setiap Pekerjaan Sebagai Ibadat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home