Sunday, July 23, 2006

Qunut Nazilah

APA yang akan terjadi di masjid jika dalam solat Zuhur, imam membaca qunut dalam bahasa Arab yang maksudnya "Ya Allah ampunilah dosa kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat. Ya Allah, jinakkan, satu padukan hati orang muslimin. Perbaikilah keadaan mereka. Tolonglah kaum muslimin khususnya pejuang Palestin dan Lubnan untuk melawan musuh-musuh-Mu, dan musuh-musuh mereka khususnya tentera Israel penceroboh. Ya Allah, laknatlah orang kafir yang mendustakan Rasul-Mu dan membunuh kekasih-Mu. Ya Allah cerai-beraikan kesatuan mereka. Hancur leburkan kekuatan mereka, Dan turunkanlah bencana-Mu yang tiada tertolak lagi untuk orang yang penuh dengan dosa, dengan menyebut nama-Mu ya Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu"?

Sudah tentu makmum pada mulanya akan gelabah dan gempar seperti ada yang terus sujud selepas baca doa rukuk kerana dia fikir imam akan terus sujud seperti biasanya; ada yang tertanya-tanya yang akhirnya mengganggu kekhusyukan solatnya dan sebagainya jika imam tidak memaklumkan terlebih dulu bahawa dia akan membaca doa qunut nazilah pada rakaat terakhir solat Zuhur berkenaan. Dalam amalannya, doa itu bukan hanya dalam solat Zuhur tapi juga dibaca dalam setiap solat fardu.Apakah qunut nazilah itu? Secara garis besarnya qunut nazilah adalah suatu doa di dalam solat pada tempat yang khusus dalam keadaan berdiri kerana malapetaka atau musibah yang turun menimpa kaum muslimin dalam bentuk penganiayaan, penyiksaan, gempa, banjir, dan sebagainya. Nazilah, jamak nawazil, itu sendiri bererti 'malapetaka' (al-Bahuti, Kasysyaf al-Qina', 1/421)

Dalam sejarah Islam, qunut nazilah sering dilakukan baginda Rasulullah SAW dan Khulafa Rasyidin yang empat. Pada permulaan Hijrah, baginda membaca qunut nazilah untuk keselamatan Ayyasy, al-Walid dan Salamah yang berpakat hijrah dengan melarikan diri dari Makkah ke Madinah. (Rujuk hadis riwayat Bukhari dan Muslim)Dalam kejadian lain, puak Ri'l, Zakuan, 'Ushayyah dan Bani Lahyan meminta pertolongan Nabi untuk menghantar tentera bantuan dalam memerangi musuh mereka. Baginda mengabulkan permohonan itu dan mengutuskan 70 pejuang Ansar yang dikenali sebagai penghafaz al-Quran pada masa itu. Mereka adalah pencari kayu pada siang hari dan solat tahajud pada malam hari. Ketika tiba di satu tempat bernama Perigi Ma'unah, kawasan al-Najd, puak Arab berkenaan mengkhianati Nabi dan menyembelih semua pejuang utusan baginda itu. Kejadian ini berlaku pada bulan Safar tahun 4 Hijrah. Selepas berita memilukan dan menyedihkan ini, Nabi membaca qunut nazilah untuk kebinasaan puak Ri'l, Zakuan, 'Ushayyah dan Bani Lahyan selama satu bulan. (Rujuk hadis riwayat Bukhari)

Selepas kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud yang berakhir pada Sabtu, 15 Syawal tahun 3 Hijrah, puak 'Adhl dan al-Qarah meminta kepada Nabi orang yang boleh mengajarkan agama kepada mereka. Nabi dengan senang hati mengabulkan permintaan mereka dan mengirimkan 10 orang ustaz di bawah pimpinan 'Ashim bin Tsabit. Malangnya, ketika tiba di kawasan puak Huzail, penipu daripada orang musyrik itu menghadang dan membunuh mereka. Tiga daripada mereka terselamat iaitu Khubaib bin Adiy, Zaid bin al-Datsnah dan Abdullah bin Tariq tetapi mereka menjadi tawanan. Bagaimanapun, mereka akhirnya terbunuh juga kerana sebab masing-masing. Kejadian ini dalam sejarah Islam terkenal dengan nama Ba'ts al-Raji' atau Utusan al-Raji' dan Rasulullah juga membaca qunut nazilah untuk kebinasaan kedua-dua puak pengkhianat berkenaan. (Rujuk Sirah Ibn Hisham)

Daripada tiga kejadian di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa setiap bala bencana menimpa umat dan juga demi memohon keselamatan umat, Nabi selalu melakukan qunut nazilah. Ini ditegaskan lagi dalam sebuah hadis maksudnya: "Sesungguhnya bila ingin mendoakan seseorang, Nabi Muhammad SAW membacakan qunut sesudah rukuk." (HR Ahmad dan Bukhari)Imam al-Nawawi (w. 676H) dalam kitabnya al-Majmu' menyatakan: "Pendapat yang benar dan masyhur yang ditetapkan majoriti ulama, apabila berlaku bala dan bencana ke atas orang Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak atau serangan belalang atau seumpamanya, bolehlah dilakukan qunut nazilah pada setiap kali solat fardu. Jika tidak berlaku bala bencana, tidaklah perlu qunut nazilah itu."Qunut nazilah adalah suatu hal yang disyariatkan dan amat disunatkan ketika terjadi musibah.

Sunat qunut nazilah ini pendapat ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali dan lain-lainnya. Imam Syafie berkata: "Apabila turun musibah kepada kaum muslimin disyariatkan membaca qunut nazilah pada seluruh solat wajib.” (Dalam al-Baghawi, al-Syarh, 2/279). Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menukil ucapan Imam Ahmad: “Apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaknya imam melakukan qunut dan diaminkan orang yang dibelakangnya.” (1/450)Umat Islam adalah satu tubuh jika salah satu anggota tubuhnya sakit, yang lain turut sakit. Kita berkewajipan membantu umat Islam lain yang dalam keadaan musibah khasnya peperangan di merata tempat.

Ukhuwah Islamiyah adalah kewajipan. Kita boleh membantu mereka dengan harta kekayaan, dukungan moral, pemberitaan kepada umat Islam yang lain dan salah satu di antaranya dengan doa. Saudara-saudara kita di Palestin sememangnya mengharungi keperitan hidup sepanjang masa. Gaza sudah dikuasai Israel.

Serangan ke atas Lubnan adalah satu cara mengalihkan isu sebenar Palestin. Ehud Olmert, Perdana Menteri Israel Penceroboh dipetik Reuter menegaskan “Kami tidak membuat jadual khusus untuk operasi ini. Serangan akan diteruskan di merata tempat, bila-bila masa, dan dalam pelbagai ukuran untuk mencapai tujuan yang digariskan.” Malangnya, di tengah kecaman dunia yang datang bertubi-tubi, Amerika Syarikat bukan ikut meredakan suasana, sebaliknya membela negara zionis sekutunya itu. “Mari kita renung kembali, siapa yang memulakan semua ini," kata Timbalan Menteri Luar Amerika Syarikat, Nicholas Burns, kepada CNN. Bahkan Kongres dan Parlimen Amerika Syarikat sudah menyiapkan satu usul resolusi yang menegaskan kesetiaan menyokong Israel, haknya untuk membela diri dan bertindak menghalang pencerobohan ke atasnya oleh kelompok atau negara penyokong keganasan seperti dikatakan salah seorang pemimpin Parlimen AS, Nancy Pelosi.

(AFP)Israel memporak-perandakan sebuah negara dengan mengetepikan semua sopan santun hubungan antarabangsa kerana dakwaan hanya dengan dua tenteranya yang ditawan. Mereka boleh melakukannya dengan selesa. Sebaliknya, ribuan orang Islam dibunuh dan diancam Israel tapi kita tidak boleh buat apa-apa. Kita hanya boleh berdoa dengan kehinaan diri, tanpa daya kuasa dan penuh khusyuk “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir." (Surah al-Baqarah: 286)

Kita sebagai umat yang hanya berstatus pengikut hanya boleh berdoa seperti dianjurkan al-Quran dan Sunnah Nabi. Dalam semua qunut nazilah yang dilakukan Nabi dan diamini sahabat di atas, dengan perkenan Allah. Ayyasy, al-Walid dan Salamah selamat tiba di Madinah; pemimpin dalam kejadian penyembelihan 70 sahabat, mati dengan pelbagai seksaan dunia, dan puak 'Adhl dan al-Qarah akhirnya direlakan kerana masuk Islam secara tulus dan ikhlas. Akankah kita melakukan qunut nazilah? Wallahu a'lam.